Bahan Bantu Belajar
Bahan bantu belajar adalah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Ngui Kuen Sang (1981), beliau menyatakan bahawa kita tidak dapat memberi takrif khusus tentang bahan bantu belajar walaupun ramai pendidik bersetuju bahawa penggunaan bahan pengajaran dalam situasi pengajaran dan pembelajaran melibatkan penglihatan dan pandangan seorang pelajar. Aton Long(1982) pula berpendapat, bahan-bahan pengajaran ada berbagai-bagai. Bahan-bahan itu mungkin dalam bentuk buku,carta atau slaid yang dipancarkan pada layar putih. Bahan - bahan yang menyokong pengajaran dikenali sebagai bahan bantu belajar. Menurut teori Konstruktivisme, pembelajaran terbentuk hasil daripada pembinaan pengetahuan berdasarkan pengalaman. Pembelajaran terbina hasil pencantuman maklumat dengan pengetahuan sedia ada. Murid-murid yang belajar dan berinteraksi dengan objek dan perkara-perkara pembelajaran akan memahami apa yang dipelajari dengan lebih baik. Murid-murid akan membina sendiri konsep dan penyelesaian terhadap masalah yang diberi.